No_tItLE*% | dialog bersama nik aziz siri1

dialog bersama nik aziz siri1

WAWANCARA BERSAMA TOK GURU NIK ABDUL AZIZ

Wawancara menarik bersama Tuan Guru pada 29 April 2000, hari sabtu.

Nick Leong: Tok Guru pandai berbahasa Inggeris?

Nik Aziz: Saya lompat-lompat sahaja, broken English. Dulu, sewaktu saya di Kaherah, saya boleh baca Egyptian Gazzette tapi sekarang ini, tak boleh, rugi betullah.

Q: Saya diberitahu Tok Guru fasih dalam berjenis-jenis bahasa.

Nik Aziz: Saya fasih Bahasa Arab, Bahasa Urdu. Dulu Inggeris pun tahu, boleh cakap, tapi tak ada praktis, hilang. Bahasa Parsi sikit-sikit.

Q: Boleh beritahu sedikit latar belakang Tuan Guru?

Nik Aziz: Rumah saya sekarang adalah tanah tumpah darah saya, Kampung Pulau Melaka, Kota Baru. Keluarga saya adalah keluarga guru agama dan juga puak tani, suka menanam pokok-pokok, buat kebun sendiri dan orang tua, bapa saya ini yang beri semangat, jangan bergantung rezeki pada orang lain.

Orang tua saya sendiri tanam kebun getah, ada kebun rambutan, kebun durian. Dia cukup marah kalau hanya bergantung pada sedekah. Sedekah tahu tak? Derma. Dia cukup marah.

Dia tidak minat dengan berniaga. Dia minat dengan berkebun. Sampai sekarang pun, saya dekat dengan tani, petang-petang saya tanam pokok dulu.

Sekarang ini, pokok durian saya tanam, pokok kelapa saya tanam, pokok pisang saya tanam, semua boleh berbuah semua boleh makan. Tapi sekarang tidah sihat, tak boleh cangkul. Sekarang tembak tupai dan tebas rumput-rumput untuk berpeluh sahaja. Tebas rumput dan pokok yang ganggu durian.

Q: Bagaimana dengan keluarga Tuan Guru?

Nik Aziz: Adik-beradik saya 17 atau 18. Orang tua saya kahwin empat, jadi adik-beradik saya ramai.

Semasa remaja habiskan masa saya untuk belajar. Orang tua saya ini, disamping dia pergi berkebun, dia bawa saya pergi sama, pagi-pagi belajar buku dulu, belajar kitab dulu. Malam dia kejut saya sembahyang subur, baca Quran, terjemah Quran. Kemana pergi pun dia bawa saya bukanuntuk buat kerja tapi untuk mengaji dengan dia.

Kerja sikit-sikit tapi belajar banyak, dia suruh saya hafal syiar-syiar dari
Bahasa Arab bagi perkukuhkan Bahasa Arab dan saya ini sekarang sedang menikmati kesan yang ditinggalkan oleh orang tua saya iaitu dalam kepala saya banyak ingat ayat-ayat Quran yang menyebabkan dalam ucapan-ucapan saya selalu selit dengan pantun-pantun Bahasa Arab, ayat-ayat Quran dan hadith-hadith.



.

Q: Tuan Guru rasa tunjuk-ajar sedemikian tidak lagi dilakukan oleh ibu-bapa?

Nik Aziz: Betul. Ibu-bapa dulu mementingkan akhlak anak-anak. Cukup jaga akhlak anak-anak. Ibu-bapa sekarang umumnya turut arus.

Kalau kerajaan suruh belajar, belajar. Kalau kerajaan suruh tinggi akademik, tinggi akademik. Akhlak hampir tidak dipedulikan langsung. Ini sungguh mendukacitakan.

Hasilnya, sekarang ini kita dapat lihat, anak-anak, belia-belia yang 20 tahun dahulu tidak dipedulikan akhlak dalam sukatan pelajaran dan 20 tahun orang Melayu sudah mengenepikan tulisan Jawi, sekarang kita sudah boleh tengok, anak-anak sudah tidak boleh baca kitab agama, tidak boleh baca Quran.

Dan sekarang ini sudah menjadi bebanan keatas kerajaan membelanjakan wang begitu banyak untuk jaga belia-belia yang sudah (ketagih) dadah dan sebagainya kerana agama mengajarkita bahawa semua gerak geri kita di muka dunia ini, kesannya dapat dilihat pada hari akhirat nanti, the last day. Tekanan dari pelajaran ini dulu kuat. Sekarang tekanan itu sudah tidak ada.

Q: Apakah yang mendorong Tok Guru untuk berkecimpung dalam politik?

Nik Aziz:
Puncanya begini. Bila saya balik daripada luar negeri pada tahun 1962, saya menjadi guru.

Tahun 1962 ini, keganasan Parti Perikatan terhadap ahli ulamak begitu
mendukacitakan, selalu tangkap ulamak, tangkap tok guru kampung, tangkap tok guru pondok.

Kerja ini bercanggah sekali-kali dengan Islam. Ia tidak pernah berunding
dengan orang ini, tidak pernah ajak muzakarah. Tangkap dan sumbat, ISA terus.

Banyak ahli ulamak Kelantan kena ISA di Batu Gajah. Saya perhati ini
perbuatan tak betul. Saya tak kata apa, Cuma ucapan-ucapan saya pada tiap-tiap malam, cara Islam.

Masyarakat bila dia dengar, anggap saya ini orang PAS kerana ucapan saya, kata mereka, mirip dengan PAS. Saya tidak menjadi orang PAS tapi penonton dengardan kata “Dia ni orang PAS.” Bila berlaku kematian seorang wakil rakyat, wakil parlimen Kelantan Hilir, sekarang ini ditukar menjadi Pengkalan Chepa, namanya Haji Ahmad Prai.

Haji Ahmad ini orang Seberang Prai. Dia menjadi wakil rakyat parlimen Kelantan Hilir. Bila mati hamba Allah ini, tahu-tahu saya dipilih menjadi calun.

Saya tengah mengajar di Maahad Muhammadi datang wakil rakyat Panchor, Pak Nik Lah Arshad, dia kata “Ustaz, Datuk Asri minta ustaz pergi kerumah dia sekarang.”

Saya kata “Pasal apa?” “Entahlah” kata dia, “Orang ramai tengah tunggu
ustaz.”

Saya pun berhenti daripada mengajar , terus pergi kerumah Datuk Asri,
tahu-tahu, ahli jawatankuasa agung PAS datang mesyuarat sini, memilih calun baru untuk mengganti Allahyarham Haji Ahmad Prai.

Jadi Datuk Asri kata, “Ustaz, kami buat keputusan supaya ustaz menjadi calun.” Terus dia bagi kepada saya wang RM500 bayar gaji sebulan.

Saya terus pergi ke Majlis Agama, kerana ketika itu Maahad Muhammadi dibawah Majlis Agama, jumpa Tengku Seri Utama sebagai pengerusi Majlis Agama Islam Kelantan beritahu saya terpaksa berhenti kerana saya telah diminta oleh parti PAS untuk menjadi calun. “Ini duit RM500.”

Bila saya beri, terlebih tiga ringgit. Saya ambil duit RM3 dan beri balik pada Datuk Asri. Saya kata “Ini duit lebih.” Dia pun terima.

Mulai daripada situlah, saya menjadi orang PAS. Jadi ahli PAS tiga hari sebelum daripada menjadi calun, tahun 1967. Kalau tak silap saya bulan sepuluh (Oktober). Mulai dari situlah saya menjadi orang PAS dan berkempen menjadi calun dan saya menang.

Mulai dari situlah sampai hari ini saya tak berhenti-henti jadi wakil rakyat, apa boleh buat, nasib saya. Itu cerita saya, bukan saya masuk PAS tapi dimasukkan saya dalam PAS dan saya setuju.

Q: Sebab?


Nik Aziz:
Saya setuju sebab PAS memperjuangkan Islam. Islam ini menjadi agama yang dibawa oleh nabi-nabi. Sejak daripada Nabi Muhammad naik ke Nabi Isa, naik ke Nabi Musa terus. Semua nabi-nabi bawa Islam.

Kita sebagai orang Islam, Melayu baik Cina baik India baik mana-manapun, mesti jaga Islam. Melayu tak payah dijaga kerana Melayu ini, jaga pun Melayu, tak jaga pun Melayu.

Bangsa Melayu serupa juga bangsa Cina, orang jaga bangsa ini tak betul. Kita jaga benda yang boleh jadi hilang, barulah kita perlu jaga.

Bangsa Melayu, dia tidak akan hilang. Bangsa Cina pun dia tidak akan hilang. Bangsa eskimo, bangsa asli pun dia tidak akan hilang. Perlu apa kita jaga?

Yang jaga ini ialah benda yang boleh jadi hilang. Islam ini boleh jadi hilang. (agama) Kristian boleh jadi hilang, (agama) Yahudi boleh jadi hilang. Hak ini yang kita kena jaga.

Bila jaga Islam, Melayu juga terjaga sama, Cina juga terjaga sama, India juga terjaga sama kerana Islam mengajar bahawa Melayu, Cina, India, seluruh manusia dunia ini hanya daripada seorang bapa. Bapa orang Melayu Adam, bapa orang Cina juga Adam, bapa orang Inggeris juga Adam. Jadi ia (Islam) satu ajaran yang cukup baik, ajaran yang penuh dengan perpaduan.

Bila bapa kita satu, ibu kita pun satu, ertinya kita ini adik-beradik. Cumanya dua pupu, seribu pupu, sepuluh ribu pupu tapi darah manusia semuanya satu dari Adam waalaisalam.

Satu ajaran yang cukup penuh dengan keamanan, dan kesaudaraan. Melayu walaubagaimana miskinpun Melayu, bagaimana kuruspun Melayu. Cina juga, kurus pun Cina, gemuk pun Cina, kecil pun Cina, tua pun Cina, tak perlu dijaga. Bangsa tak perlu dijaga.

Q: Apakah pengaruh politik Tok Guru?

Nik Aziz:
Ilham politik ini pertama dari ajaran, didikan, kedua daripada Quran, yang ketiga daripada guru-guru yang saya terima di India, terima di Pakistan, terima di Mesir. Guru-guru dan bacaan-bacaan serta alam sekitar yang berlaku, semuanya memberi ilham pada saya untuk memperjuangkan Islam.

Q: Apakah peristiwa yang meninggalkan kesan paling dalam pada Tok Guru?

Nik Aziz: Sebelum saya dilantik menjadi wakil rakyat, saya juga sebagai wakil rakyat kerana saya selalu berceramah.

Orang tua saya, dia suruh saya, tiap-tiap hari Jumaat, dia tidak beri saya sembahyang di satu tempat. Dia suruh saya pergi merata-rata.

Saya guna motosikal Honda 70cc, semasa saya jadi guru, saya guna inilah kemana-manapun.

Oleh kerana saya menjadi guru, ramai murid-murid saya bertaburan diseluruh Kelantan. Kemana saya pergi, umumnya ada anak murid. Anak murid itu beritahu bapanya, “Ini guru kita pak” atau “Ini guru kita mak.”

Jadi akhir sekali tiap-tiap hari Jumaat, saya pergi sembahyang Jumaat ada orang kenal saya kerana kampung itu juga ada satu dua anak murid, kampung ini juga ada satu dua murid. Ini menyebabkan saya semakin popular.

Saya tak cadang langsung jadi wakil rakyat, tapi sebagai orang Islam, menjadi kewajipannya sebar ilmu. Dimana saya pergi, imam masjid minta saya berkhutbah. Bila orang tahu saya belajar di India, Mesir dan Pakistan, dia suka dengar ucapan saya, sampai sekarang pun alhamdulilah. Mungkin kerana sambutan ini, ilham saya sebagai pemimpin semakin mendalam.

Lebih-lebih lagi, Parti Perikatan zaman dulu nampak sangat kesilapannya.

Kesilapannya pertama, guna kekerasan. Selalu guna polis ugut orang kampung, sedangkan polis ini anggota kerajaan. Perikatan ini parti. Bagaimana mereka mempergunakan alat kerajaan untuk menegakkan parti. Ini saya belajar di universiti. Ini salah.

Masa pilihanraya juga mereka mempergunakan jentera kerajaan, kereta-kereta kerajaan, radio, TV. Ini harta kerajaan, bukan harta parti mereka guna sedangkan apa yang kita belajar di universiti lain.

Sekarang ini, semakin ramai pelajar keluar dari universiti tiap-tiap tahun, beribu-ribu. Makin orang lagi orang marah pada Umno yang mempergunakan harta kerajaan.

Saya tertarik dengan ucapan Datuk Shahrir (Samad), ketua Umno Johor Bahru, dalam sebulan lepas. Dia marah kepada Umno kerana Umno sudah tidak tahu beza antara kerajaan dengan parti. Dia mempergunakan harta kerajaan untuk parti.

Sebarang masaalah dalam Umno, dia kata, gunakan kekerasan, gunakan undang-undang. Sedangkan kebijaksaan parti perlu dipergunakan, bukan dengan undang-undang. Dia semakin parah sekarang penyakit dalam Umno.

Bila kita terang benda itu pada masyarakat, masyarakat terima. Sebab itu masyarakat makin menyingkirkan Umno kerana Umno membawa jalan yang salah, dari segi demokrasi pun tak betul, dari segi Islam pun tak betul. Sebab itu, NGO semakin ramai pada alternatif.

Sekarang ini di Taiwan, kerajaan yang memerintah 54 tahun tumbang dan sebelum itu Suharto juga tumbang, itu menambahkan semangat masyarakat disini dan Umno tidak boleh sekat benda ini kerana tv, internet semua sekali sebut.

Q: Ada yang berkata Tok Guru mempunyai pandangan serong terhadap wanita.

Nik Aziz:
Perkataan serong ini diguna oleh Umno pada saya bagi menyingkirkan saya dari masyarakat.

Macamana saya nak memandang serong kerana ibu saya ini wanita, isteri saya pun wanita, anak-anak saya pun ramai yang wanita, dan Nabi Muhammad pesan kepada orang ramai supaya belajar sebahagian daripada agama daripada isterinya sendiri.

Oleh yang demikian, tak timbul masaalah pandang serong pada wanita. Apa yang ada ialah saya nak baiki, saya nak baiki kerosakan masyarakat memperalatkan wanita untuk tujuan seks yang semakin berkembang sekarang dan untuk tujuan melariskan kommoditi mereka dalam iklan-iklan.

Ini saya kata tak betul, mempergunakan wanita, gambar-gambar wanita dalam iklan kommoditi perniagaan, ini tak betul. Ini memperlekehkan wanita, meletakkan wanita sebagai satu barangan untuk perniagaan. Banyak lagi cara lain untuk tarik pelanggan membeli baranga kita. Ini semua propaganda Umno.

Umno tak ada modal selain daripada berbohong. Berbohong ini, kalau ada tekniknya, memang orang percaya tetapi tidak semua masa, tidak semua tempat, tidak semua orang, not everyone, not every place, not every time.

Q: Kenapakah Tok Guru selalu dibayangi kontroversi? Contohnya isu Raja-raja dan komen Tok Guru mengenai orang Cina.

Nik Aziz: Cakapan saya diakui benar. Kalau orang Cina terima Islam, maka dengan sendiri orang Cina tidak akan buat benda benda seperti arak, sebagai tauke arak. Orang Cina yang berugama Buddha, berugama Kristian, semua tahu. (Ugama) Buddha tak mahu bagi orang mabuk, Kristian pun tak mahu bagi orang mabuk, ugama manapun tak mahu bagi orang mabuk. Jadi percakapan saya itu betulkah salah?

Kalau cakap saya salah, apa boleh buat, tarik balik, tak apa. Tapi kalau
cakap saya betul, nak marah juga, itu tak betul.

Yang keduanya, boleh jadi orang Cina tersentuh hatinya kerana saya kata kalau orang Cina masuk Islam.

Boleh jadi tersentuh kerana Islam ini di momok-momokkan, diperlekehkan oleh golongan orientalis, diperlekehkan pula oleh orang Umno. Umno selalu sebut, “Islam ni melampau, Islam ni extremis.”

Maka boleh jadi sebahagian orang Cina ini terpengaruh dengan cakap-cakap Islam ini melampau. Jadi bila saya kata, “Kalau orang Cina masuk Islam,” (orang Cina berfikir)”Apa itu Tok Guru suruh saya jadi orang extremekah?” Boleh jadi begitu agaknya.

Sebab itu ada orang Cina rasa tak sedap dengan cakap saya tetapi sekali-sekala saya kena sebut benda baru. Saya sebagai pemimpin mesti ada idea. Takkan saya nak sebut benda yang sama puluh-puluh tahun. Mesti ada satu, lepas satu, satu, lepas satu. Itu kewajipan saya sebagai pemimpin.

Soalnya betul atau tidak percakapan saya bahawa kalau orang Cina terima Islam, banyak benda benda yang macam mabuk, macam arak, orang Cina bila masuk Islam, mesti tidak minum arak.

Dalam Kristianpun, orang Kristian tidak minum arak, kalau orang Kristian benar-benar, bukan? Begitu juga masaalah disko, perempuan. Kebanyakan kedai-kedai disko, tari-menari, nightclub dipunyai oleh
orang Cina. Kalau orang Cina itu juga, tauke Cina, masuk Islam, adakah dia nak terus dengan disko atau pob (pub). Masaalahnya, benda yang saya cakap itu salahkah betul.

Sampai sekarangpun saya tak nampak percakapan saya salah, cuma boleh jadi pendedahan, cara saya dedah itu boleh jadi kasar sikit. Kalau hak itu, saya minta maaflah. Pendedahan kasar itu apa boleh buat. Sekali-sekala takkanlah saya tak mahu dedahbenda-benda yang baru-baru. Barulah ucapan saya itu menambahkan ilmu pengetahuan kepada pendengar-pendengar.

Q: Ada yang berpendapat pandangan simplistic Tok Guru tidak realistic kerana masaalahnya rumit. Memasuki Islam sahaja tidak akan dapat menghapuskan segala dosa-dosa didunia. Terdapat juga orang yang berugama Islam yang melakukan dosa-dosa. Kalau bukan dengan arak atau berjudi, dengan melakukan dosa-dosa lain.

Nik Aziz:
Baik, soalnya adakah ucapan saya 100% simplistic begini. Jarang-jarang sekali saya sebut. Tidak tiap-tiap kali saya guna syurga dan neraka.

Saya, kalau tuan check balik ucapan saya, hampir 80% saya tidak guna sistem itu tetapi sekali-sekala saya kena sebut bagi membolehkan masyarakat, khasnya masyarakat Melayu didunia ini ingat akan akhirat.

Misalnya begini, saya kata, “Jangan berniaga dadah, jangan hisap dadah,” nanti kamu kena gantung sampai mati. Adakah salah ucapan saya begitu? Tak salah.

Polis pun sebut, mahkamah pun sebut, wartawan pun sebut. Jadi kalau saya guna simplistic mengenai dengan dadah orang tak marah pada saya tapi kenapa kalau saya guna simplistic dengan akhirat, dengan syurga, orang marah kerana apa? Ini kerana kita tipis semangat beragama.

Kristian juga tipis, orang Islam juga tipis, orang Buddha juga tipis. Adakah saya akan biarkan tipis semangat berugama ini berterusan? Ataupun saya mesti tebalkan? Orang Kristian juga mengaku neraka ada, orang Buddha juga mengaku neraka ada. Jadi bagaimana hendak mengejutkan masyarakat neraka itu ada kalau saya tidak sekali-sekala mengaku neraka itu ada.

Saya tidak sebut tiap-tiap hari, tiap-tiap ucapan saya tidak sebut. Sekali-sekala saya kena sebut tali gantung atas dunia ini, saya sebut rotan, “Kamu buat begini, kamu kena rotan 40 kali.” Adakah saya salah dari segi undang-undang?

Semua hakim setuju, semua polis setuju. Jadi kenapa ini setuju, itu tak setuju? Ini menunjukkan mereka marah kepada saya (kerana) menebalkan semangat agama. Agama Buddha pun setuju, Kristian pun setuju.

Oleh kerana penceramah-penceramah politik banyak menggunakan isu semata-mata, tidak sebut masaalah akhirat, saya mesti ada panduan saya sendiri. Tak boleh saya turut orang lain. Kesimpulannya, saya mahu tebalkan semangat agama. Semua agama tahu neraka dan syurga ada, tapi orang tak mahu cakap.

Pemimpin-pemimpin Kuala Lumpur tak sebut sebut dan neraka. Adakah saya juga tak akan sebut begitu sedangkan benda itu ada? Soalan ini bagus. Saya berpuas hati jawab.


(bersambung…siri2)

Comments (View)
blog comments powered by Disqus
Free Web Counters
Single in Wisconsin