No_tItLE*% | korea...dan Islam

korea…dan Islam

cilok dari utusan lama

PERKEMBANGAN Islam di Korea kini cukup memberangsangkan walaupun penduduknya yang berjumlah kira-kira 49 juta itu menganuti pelbagai agama dan kepercayaan.

Kemunculan sinar Islam itu jelas dilihat dengan pembinaan masjid-masjid dan surau-surau di bandar-bandar besar dan ceruk rantau negara itu sejak kebelakangan ini.

Apa yang jelas dakwah yang dijalankan oleh para imam terdahulu dan sekarang berjaya menyedarkan masyarakat Korea untuk memeluk agama Islam dengan rela hati.

Menurut sejarah, Islam mula bertapak di Korea sejak 58 tahun lalu iaitu semasa negara itu berada dalam kancah peperangan. Pada ketika itu Korea sangat miskin dan rakyatnya berada dalam kesusahan.

Justeru, melalui dakwah yang dilakukan dua anggota tentera Turki iaitu Zubercoch dan Abdul Rahman yang ditugaskan mengawasi proses damai di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berjaya menarik minat segelintir rakyat Korea yang tinggal di kem-kem pelarian memeluk Islam pada masa itu.

Ini adalah pengorbanan besar dua perajurit Turki itu yang sukar dilupakan oleh masyarakat Islam Korea kerana mereka mendapat hidayah serta ketenangan dalam hidup yang ketika itu penuh dengan kesengsaraan.

Dalam pada itu, Penolong Setiausaha Agung Persekutuan Islam Korea (KMF), Ahmad Cho Min-Haeng ketika ditemui di Seoul baru-baru ini menjelaskan, perkembangan agama Islam di Korea kini cukup membanggakan apabila 10 masjid berjaya didirikan selain lebih 50 surau di seluruh negara.

Jumlah penganut Islam di Korea Selatan adalah sekitar 100,000 orang. Penduduknya yang tidak beragama pula adalah 49.3 peratus iaitu berdasarkan bancian tahun 1995. Penganut Buddha pula mewakili 23 peratus daripada jumlah penduduknya.

Walaupun ada di antara masjid dan surau itu dibina oleh kaum pendatang dari negara Arab, Pakistan dan Bangladesh tetapi ia cukup bermakna kepada pembangunan Islam di negara tersebut. Ini kerana masjid merupakan lambang keagungan Islam dan kekuatan ummah. Sekali gus menjadi pusat rujukan masyarakat Islam terhadap sesuatu persoalan berkaitan akidah.

Antara masjid yang terdapat di Korea ialah di wilayah Paju, Bupyeong, Anyang, Ansan, Busan dan Jeonju. Ahmad Cho menambah, Masjid Central Seoul di Itaewon, juga dibina hasil sumbangan dari negara-negara Islam termasuk Malaysia.

Masjid itu yang dirancang pembinaannya pada awal 1960-an mendapat perhatian Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj apabila beliau menyampaikan sumbangan kerajaan negara ini sebanyak AS$33,000 kepada jawatankuasa pembinaan masjid tersebut.

Selain itu beberapa misi dakwah dihantar ke Seoul untuk membantu meningkatkan lagi kefahaman saudara baru terhadap agama Allah. Peranan yang dimainkan oleh kerajaan itu mendorong lebih ramai masyarakat untuk mendekati Islam sehinggalah ia terus berkembang hingga ke hari ini.

Selain pembinaan masjid, pusat-pusat pengajian Islam turut didirikan bagi mengajar ilmu-ilmu Islam secara lebih mendalam. Kolej Islam Yongin di Gyungggi-do adalah satu contoh selain sekolah pendidikan Islam di perkarangan Masjid Central Seoul.

Islam

Ahmad Cho menarik perhatian dalam menjamin kesucian Islam dan para penganutnya, KMF kini terlibat menyediakan makanan halal seperti daging lembu dan kambing serta barang-barang keperluan lain kepada umat Islam. Pendek kata, mereka tidak perlu bimbang mendapatkan makanan halal dengan lebih mudah.

Dengan peranan yang dimainkan oleh KMF itu, kini bukan lagi satu perkara sukar untuk mencari makanan halal jika berkunjung ke negara tersebut.

Ini berikutan banyak restoran kini mempunyai kesedaran betapa pentingnya menyediakan makanan halal kepada para pelancong Islam.

Perkembangan tersebut juga adalah hasil kempen Pertubuhan Pelancongan Korea (KTO) kepada para pengusaha restoran dalam usaha menarik lebih ramai pelancong Islam ke negara itu pada masa-masa akan datang.

Apa yang penting, mereka perlu melihat logo halal yang dikeluarkan KMF di luar setiap restoran yang ingin dikunjungi.

Bagaimanapun jika ada pelancong yang mahukan makanan halal yang dipek, Ahmad Cho menambah, pihaknya tidak keberatan menyediakannya kerana KMF mempunyai tenaga yang cukup untuk memasak makanan di perkarangan Masjid Central Seoul.

“Kami sedia membantu pelancong Islam menyediakan makanan halal ala Korea dan ia bergantung kepada permintaan.

“Ini kerana kami mempunyai kaum ibu yang pandai memasak dan kemudiannya dipekkan,” ujarnya.

Comments (View)
blog comments powered by Disqus
Free Web Counters
Single in Wisconsin